06 October 2008

Brugueira gymnorhiza (Tumu)

Tumu merupakan bakau yang paling tersebar secara meluas diantara keluarga Rhizophoreae. Ianya tumbuh dengan baik di kawasan kering serta tanah poros yang sedikit berair tawar. Selalu dijumpai di bahagian belakang (back mangrove) yang mana hampir dengan daratan.

Tumu juga merupakan diantara bakau yang tumbuh paling tinggi, sehingga mencapai ketinggian 36m dan hidup lama.

Sistem akar lutut pnuematofor terdiri daripada ruang-ruang udara serta tiub, yang mana bertindak sebagai sumber bekalan udara apabila akar tenggelam semasa air pasang. Pneumatofor ini juga dilengkapkan dengan kehadiran lenticel yang hanya membenarkan udara masuk dan menapis air.

Kegunaan Tumu:

1. Digunakan sebagai makanan: Daun dan buah yang dikupas boleh dimakan setelah direndam dan direbus. Buahnya juga boleh dicampurkan dengan sirih dan dijadikan ulam. Kulitnya dijadikan bahan perasa untuk penyediaan ikan.

2. Digunakan sebagai bahan binaan: Kayu Tumu adalah keras and berat, lurus dan halus. Sesuai dijadikan bahan binaan seperti kayu curucuk, tiang rumah dan sebagainya. Tumu dijadikan sebagai tanaman komersial bagi tujuan ini di Indonesia, Sabah dan Sarawak.

3. Bahan bakar: Kayu Tumu dibakar sebagai kayu api dan dikomersilkan menjadi kayu arang di sesetengah tempat.

4. Ubatan tradisional: Kulit batang Tumu dijadikan ubat kulit serta untuk merawat malaria di Kemboja, merawat keracunan ikan di Marshall Island serta merawat sakit perut dan demam di Indonesia. Selain itu, buahnya dijadikan ubat untuk merawat mata, dan menghentikan pendarahan (dengan menghancurkan kulit buah dan meletakkan pada sumber pendarahan). Di India, daunnya dijadikan ubat mengawal penyakit darah tinggi oleh keranan sifatnyya yang kelat.

5. Kegunaan lain: Dijadikan pulpa kayu setelah diproses, serta boleh diproses menjadi sutera buatan (rayon) dan dijadikan fabrik.

Ciri-ciri utama:

Ketinggian: 8-40m
Warna batang: Coklat kehitaman
Sistem akar: Akar lutut dengan akar sokongan
Daun: Lembut dan besar (10-20cm)
Bunga: Kelopak bunga yang besar dan berwarna merah (apabila cahaya terang) dan kekuning-kuningan (apabila cahaya kurang terang, cth: pada waktu petang dan senja). Berbunga sepanjang tahun.
Buah: Benih bercambah dari buah membentuk anak pokok sepanjang 10-20cm. Anak pokok membesar lurus dan mempunyai hujung yang tumpul (separa bulat).

Status di Malaysia: Dijumpai di hampir semua kawasan hutan bakau Malaysia.

No comments:

Post a Comment